Coway Malaysia komited membantu melawan COVID-19 dengan menyumbangkan 300 pembersih udara kepada lebih 38 hospital awam di seluruh Malaysia, khusus untuk merawat pesakit COVID-19. Malah, Coway juga membuat sumbangan wang sebanyak RM300,000 kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Urusan Coway Malaysia, Kyle Choi Ki Ryong, berkata inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) itu adalah selaras dengan komitmen syarikat mempromosikan kepentingan air dan udara yang bersih dalam kehidupan. Malah ini selari dengan usaha Coway yang berterusan membantu rakyat Malaysia, terutamanya pesakit COVID-19 serta barisan hadapan.
“Kami yakin dan percaya bahawa dengan kebaikan dan sumbangan yang diberikan, akhirnya akan mewujudkan dunia yang lebih baik untuk hidup. Sebagai pemimpin pemikiran di kawasan udara yang bersih, kami menyedari untuk segera bertindak pantas, menangani keperluan negara pada masa kritikal ini. Pada masa sama, Coway dengan visi menjadi syarikat Penjagaan Hayat, ingin melakukan bahagiannya sebagai warga negara korporat Malaysia berkaitan dengan kesihatan rakyat dan memberi sokongan yang sangat diperlukan,”
Beliau berkata, tajaan pembersih udara itu diharapkan akan membantu meningkatkan usaha sedia ada KKM untuk memastikan udara bersih di pusat respiratori dan hospital penyakit berjangkit serta di semua hospital merawat pesakit COVID-19.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada CJ Logistics yang membantu dalam menyampaikan pembersih udara kepada orang awam hospital di pelbagai bahagian negara ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Coway amat menyedari betapa pentingnya udara bersih untuk kesihatan respiratori pesakit yang lebih baik, terutamanya bagi pesakit yang mempunyai masalah kesihatan pernafasan seperti asma dan kalangan warga tua. Inilah sebab mengapa sumbangan pembersih udara adalah penting,” katanya.
Tambahnya, Coway menyedari kebimbangan yang semakin meningkat dalam masyarakat Malaysia terhadap peningkatan jumlah kes, COVID-19, terutama dalam beberapa minggu kebelakangan ini, malah turut simpati dengan negara lain di seluruh dunia yang menghadapi cabaran sama.
Sementara itu, Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, berkata Kerajaan, Kementerian Kesihatan, hospital dan pesakit bersyukur dengan keprihatinan serta kemurahan hati Coway Malaysia sebagai warga korporat serta global.
“Kami menghargai kerjasama Coway Malaysia yang komited membantu melawan COVID-19 ini yang telah menjejaskan banyak negara di seluruh dunia, tetapi ia tidak memecahkan semangat dan kemanusiaan kami.
“Kementerian Kesihatan akan memastikan pembersih udara dan sumbangan akan digunakan secara berhemah di hospital awam dan kemudahan kesihatan respiratori di seluruh negara yang memerlukan bantuan,” kata Chen.
Antara hospital dan pusat yang dijangka menerima pembersih udara Coway adalah Hospital Sungai Buloh, Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah (Johor Bahru), Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan), Hospital Raja Permaisuri Bainun (Ipoh) ), Hospital Melaka, Hospital Tuanku Jaafar (Seremban), Hospital Queen Elizabeth (Kota Kinabalu) dan Hospital Umum Sarawak (Kuching).
Sumber: Berita Harian